Tuesday 27 August 2013

Belajar Bercinta Dengan Subjek Matematik

Teks : Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar : Sumber Google

Assalamualaikum ...

Alhamdulillah Allah masih beri saya kesempatan untuk menulis lagi pada hari ini . Setelah lebih kurang sebulan menyepikan diri dari dunia penulisan . Bukan merajuk atau putus asa , cuma tidak berkesempatan sahaja . InsyaAllah , selepas ini pembahagian masa yang telah dirangka selama sebulan yang lalu berhasil dan terlaksana dengan jayanya . Aamiin . 

Ok , hari ini saya nak bercerita tentang sejarah hidup saya . Kisahnya bagaimana saya boleh terjerumus ke dalam bidang perniagaan yang tidak saya sangka akhirnya akan menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan tetap saya kini . 


SEKOLAH KEBANGSAAN SERI TELOK (DARJAH 1-6)


Sejak dari bangku sekolah rendah lagi , subjek Matematik bukan lah menjadi subjek kegemaran saya . Kalau nak dikira-kira , rasanya saya tidak pernah langsung mendapat Gred A setiap kali Ujian Bulanan mahupun ketika Ujian Akhir Tahun . Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) saya untuk subjek Matematik pun cuma Gred B sahaja . Dalam kelas , saya lah yang kerap kali menjadi tumpuan untuk berdiri di atas kerusi jika tidak dapat menjawab soalan yang diberikan oleh cikgu ketika itu . Saya masih ingat lagi apabila saya tidak dapat menghafal sifir dengan baik , Cikgu Rashidah akan ambil pembaris panjang berwarna kuning yang sangat popular ketika era itu , lalu tapak tangan saya yang mulus dan comel ini menjadi mangsanya . Kawan-kawan lain yang tidak dapat menjawab soalan dengan baik pun turut merasainya . Merah padam muka jadinya . Rasa nak menangis dan perasaan malu berpadu menjadi satu . Tapi tak mengapa . Saya percaya kesakitan yang saya lalu ketika itu adalah pelajaran buat saya untuk menjadikan saya seorang yang cekal hati dan tidak mudah berputus asa. 


SEKOLAH MENENGAH DATO' SETH (TINGKATAN 1 -3)


Apabila saya menginjak ke Tingkatan Satu , hati saya berdetik " Akhirnya aku dah berumur 13 tahun " . Ketika itu umur masih muda , berfikir bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan keadaan . Tidak boleh lagi berperangai terlalu kebudak-budakan . Alhamdulillah lama-kelamaan saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan ketika itu . Subjek-subjek yang diambil saya cuba bawa sebaiknya . Bagi subjek Kemahiran Hidup , saya telah dipilih secara automatik untuk memasuki Kelas Perdagangan . Hati saya berdetik lagi " Kelas Perdagangan?Bukan ke itu merupakan kelas yang lebih menjurus kepada kira-kira ? .. Lebih mudah lagi ditafsirkan sebagai dunia Matematik ? " . Allah ! .. Ujian apakah ini ? .. Tapi tidak mengapa . Saya cuba untuk bersangka baik . Saya yakinkan diri saya untuk terus mencuba dan jangan mudah putus asa. Hasilnya , saya berjaya mendapat Gred A untuk salah satu subjek kira-kira yang cukup tidak saya gemari tetapi terpaksa saya cintai iaitu untuk subjek Perakaunan . Gembira tak terkata ! . Walaupun sekadar Ujian Bulanan , tetapi itu sudah cukup memberikan perangsang dan semangat kepada saya . Tiba masa untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) , keputusan peperiksaan saya agak baik juga ketika itu . Saya mendapat Gred A dalam subjek Kemahiran Hidup (Perdagangan) dan Gred B untuk subjek Matematik . Alhamdulillah rezeki Allah beri , pasti ada hikmah tersembunyi . 


SEKOLAH MENENGAH TEKNIK SEGAMAT (TINGKATAN 4-5)


Kisah ketika berada di Tingkatan Empat . Sarat dengan memori tak mudah terlupa dan terhakis dari kotak minda saya sehingga kini . Saya membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Teknik Segamat , Johor dalam bidang Kejuruteraan Elektrik & Elektronik . Ketika mula-mula saya mendapat tawaran itu,saya tidak berfikir panjang . Saya terus terima sahaja . Kawan-kawan rapat semua nak keluar dari sekolah lama untuk mendapatkan pemgalaman baru d sekolah baru . Saya juga tidak mahu ketinggalan . Mula sesi pembelajaran . Hati saya berdetik lagi  " Ya Allah , sukarnya hendak membawa setiap subjek . Kenapalah dulu aku tidak berfikir panjang ? Harus menempuh subjek-subjek utama Sains seperti Fizik,Kimia,Matematik Tambahan , Matematik ? Allah ,aku tidak kuat ! " . Lama juga masa yang saya ambil untuk bangkit semula selepas gagal berkali-kali . Nak tak nak saya harus membina perhubungan serius , baik , malahan lebih akrab lagi dengan subjek Matematik dan subjek Sains yang lain tanpa berbelah bahagi . Setelah berhempas pulas , akhirnya keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan . Keputusan SPM saya agak mendukacitakan . Saya sudah menjangkakan keputusan peperiksaan saya itu akan jadi begitu . Walaupun sudah dapat agak,tetapi perasaan sedih itu tetap ada . Tapi tidak mengapa . Saya kembali bangkit untuk menebus semula kesilapan lalu saya dengan memasuki Tingkatan Enam pula .


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN DATO' SETH (TINGKATAN 6)
Alhamdulillah , balik semula ke sekolah lama . Gembira tak terkata . Bertemu semula dengan rakan-rakan lama . Bertukar-tukar cerita dan pengalaman sepanjang beberapa tahun tidak berjumpa. Seperti biasa , tawaran yang diterima dari pihak sekolah untuk aliran Sastera . Subjek yang perlu diambil sepeti Pengajian Perniagaan @ Perakaunan . Allah ! Subjek yang memerlukan saya buat kira-kira lagi . Formula seperti punca kuasa dua,tambah,tolak,bahagi itu semua . Kalau boleh saya nak elak .Tapi semakin saya ingin mengelak,semakin dekat pula dunia kira-kira ini dalam hidup saya . Tiba-tba saya teringat sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah seperti di bawah :


“.. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” ( QS. Al Baqarah: 216 )


 UITM SEGAMAT , JOHOR (DIPLOMA IN BUSINESS STUDIES)


Perjalanan yang penuh liku dan cabaran akhirnya diteruskan ke UITM Segamat , Johor . Ketika mula-mula saya mengisi borang permohonan , antara pilihan jurusan saya ialah Pelancongan dan Perniagaan . Sekadar mencuba nasib . Kalau ada rezeki,alhamdulillah.Kalau tiada rezeki tidak mengapalah . Alhamdulillah , saya diterima masuk ke UITM dengan mengikuti jurusan Pengajian Perniagaan . Ya ! Matematik ada di mana-mana . Saya sudah mula menerima hakikat itu . Saya cuba secara perlahan-lahan.Biarpun lambat,tetapi haslnya tetap ada. Akhirnya saya sudah mula sedar , bidang perniagaan adalah bidang yang terbaik untuk saya.Sejak azali Allah sudah tetapkan begitu.Diberinya dugaan dan cabaran kepada saya sedikit demi sedikit supaya saya belajar erti kehidupan yang sebenar . Perjalanan itu sangat panjang tetapi berbaloi . Tidak dapat dinafikan lagi . Antara subjek yang diambil ketika itu ialah Financial Accounting , Fundamentals of Marketing,Public Relations dan International Business . Nah ! Apa lagi yang saya mahu? Allah dah tunjukkan jalan-Nya . Saya hanya perlu telusuri sebaiknya tanpa perlu menoleh ke belakang lagi . 


Alhamdulillah , kini saya sudah bergelar usahawan. Biarpun sekadar kecil-kecilan , namun saya cukup berpuas hati kerana jika Allah tidak menetapkan perjalanan hidup saya sedemikian rupa ,mustahil saya mampu sampai ke tahap seperti sekarang . InsyaAllah , mudah-mudahan Allah permudahkan urusan . Aamiin.Jadi , akhir kata dari saya " Belajarlah bercinta dan berkasih sayang dengan Subjek Matematik kerana banyak manfaat yang akan kita perolehi dalam kita sedar ataupun tidak " .

Sekian , terima kasih . :)