Thursday 30 October 2014

Pengalaman Pertama Menyanyi Di Hadapan Pelajar Junior

Teks : Siti Nornaziha Binti Md Suib
Video : Youtube

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, pagi ini rasa nak mengimbau kenangan ketika zaman sekolah dulu. Satu kenangan yang agak sukar nak dilupakan sehingga kini iaitu menyanyi buat pertama kalinya di hadapan orang ramai.

Nak tahu apa lagunya?

Ini dia.

Misha Omar  Nafas Cahaya

Video ini pendek sahaja durasinya. Kalau nak dapatkan versi penuh, boleh dengar di youtube ya. 

Inilah lagunya. Percaya itu tidak itulah kenyataannya. Sampai sekarang masih tak boleh lupakan lagi. Lagu ini saya nyanyikan ketika masih belajar di SM Teknik Segamat, Johor. Masa itu saya agak aktif juga dalam berpersatuan. Dapatlah pegang jawatan Exco Kurikulum Sesi 06/07 di bawah Majlis Perwakilan Pelajar Asrama.

Saya ingat lagi ketika itu di dewan utama sekolah. Para exco tengah sibuk dengan tugasan masing-masing dan birai pentas pula memang tertutup masa itu. Entah angin dan semangat apa pula yang masuk dalam diri, tiba-tiba saya rasa nak menyanyi pula. Waktu itu, lagu Nafas Cahaya memang menjadi kegilaan saya. Tambahan pula adik-beradik saya selalu cakap yang suara saya macam Misha Omar sikit-sikit. Apa lagi, semakin bersemangatlah saya untuk mendengar dan hafal setiap koleksi lagunya. 

Saya cakap dengan kawan yang saya nak menyanyi tapi belakang tabir sahaja. Maksudnya, birai itu biarkan sahaja tertutup dan saya akan menyanyi di belakang tabir. Pentas dewan sekolah itu agak besar juga. Saya dah agak bersedia untuk menyanyi. Tapi, tak semena-mena boleh pula mereka tarik birai itu daripada atas. Dewan sekolah kami ini istimewa sikit sebab ada tangga untuk ke tingkat atas. 

Sebaik sahaja birai dibuka maka kelihatan ramai para pelajar di bawahnya. Saya anggar adalah dalam 1000 orang. Allahu. Ramainya. Tapi masing-masing buat hal sendiri. Memang bising waktu itu. Semuanya merupakan pelajar junior Tingkatan 4 yang masih lagi melalui sesi orientasi di sekolah kami dan kami barisan MPP dan Pengawas dipertanggungjawabkan untuk menjalankan aktiviti tersebut selama lebih kurang seminggu kalau tak silap. Kawan-kawan dekat atas pentas ini semuanya dah ketepi. Kalau ikutkan pandangan daripada bawah pentas, memang akan nampak saya seorang sahaja di situ. 

Menambah gementar apabila nisbah lelaki dan perempuan ketika itu adalah 6:1. Itulah kenyataannya kerana sesungguhnya SMT Segamat merupakan sekolah aliran kejuruteraan dan vokasional yang biasanya didominasi oleh kaum lelaki. Ketika itu saya berada di Tingkatan 5 aliran kejuruteraan Elektrik & Elektronik. 

Ok, berbalik kepada topik utama. Apabila saya dah berdiri tegak di tengah pentas sambil memegang mikrofon, maka dengan tidak ada perasaannya saya terus menyanyikan lagu kegemaran saya itu! Nak tahu apa yang terjadi selepas itu?

Semua terdiam. Dalam hati tertanya juga kenapa terus diam padahal tadi bising yang amat. Kalau bunyi pin jatuh pun pasti boleh dengar punya. Sebab terlalu sunyi. Dalam hati sedikit sebanyak lega jugak. Akhirnya budak-budak ini diam pun. Nama pun lelaki kan. Hehehe. Lepas saya habis menyanyi maka terdengarlah tepukan gemuruh daripada pelajar junior di bawah pentas itu. Tersenyum meleret saya dibuatnya. Di saat itu baru saya menyedari yang saya boleh menyanyi rupanya. Mungkin bakat menurun daripada abah.

Itulah pengalaman saya ketika belajar di SMT Segamat menyanyi di khalayak ramai buat pertama dan terakhir kalinya. Alhamdulillah saya bersyukur sebab dikurniakan anugerah boleh menyanyi dengan agak baik juga. Akan saya gunakan anugerah ilahi ini sebaiknya di masa-masa akan datang. InsyaAllah. Mohon doanya ya rakan-rakan.

Cukuplah sampai sini dahulu. Nanti kita cerita lagi. Saya minta diri dulu. Sekian. 

Assalamualaikum. :) 

Monday 27 October 2014

Kraftangan Keychain Palestin (Pixel Beads Special Edition)

Teks : Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar : Naziha Collection

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. 

Hari ini saya nak perkenalkan produk yang dah lama saya buat secara offline dan juga online. Keychain Palestin ini saya hasilkan sebagai tanda solidariti saya bersama-sama anda semua rakyat Malaysia, mahu membebaskan Palestin dan menghancurkan Zionist Israel yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. 

Alhamdulillah, permintaan yang diterima menggalakkan. Selain daripada bentuk segi empat sama, saya juga menghasilkan keychain Palestin dalam bentuk bulat. Jika anda berminat, harga borong dan juga harga seunit adalah seperti di bawah ini :


Keychain Palestin Flag (Square)
1 PCS = RM3
2-99 PCS = RM2.80
100 PCS = RM2.50
101-1000 PCS = RM2.20
1001-4999 PCS = RM2
5000 AND ABOVE = RM1.80




 Keychain Palestin Flag (Round)
1 PCS = RM2.50
2-99 PCS = RM2.20
100 PCS = RM2
101-1000 PCS = RM1.80
1001-4999 PCS = RM1.50
5000 AND ABOVE = RM1.20



Maklumat tambahan : Keychain ini berstatus pre-order. Maksudnya, produk akan dibuat sebaik sahaja pembayaran diterima oleh pihak kami. Jika anda mahu tempah keychain dalam kuantiti yang banyak, anda digalakkan untuk membuat tempahan 1 bulan lebih awal. Tempoh masa produk siap dan dipos kepada pelanggan adalah bergantung kepada kuantiti yang ditempah.

Ada dua jenis cara pembayaran :

1) Anda boleh selesaikan bayaran keseluruhan sepenuhnya sebelum proses pembuatan dimulakan.


@

2) Anda perlu membayar wang deposit 60% daripada jumlah keseluruhan terlebih dahulu. Baki 40% anda boleh bayar sebaik sahaja keychain siap kesemuanya. Barang tidak akan dipos selagi baki 40% tidak dilangsaikan untuk mengelakkan kesulitan di kedua-dua belah pihak. :)

ISTIMEWA UNTUK ANDA 
Belian 100 biji ke atas layak untuk mendapat FREE Postage !

Untuk sebarang pertanyaan lanjut boleh : 

Sms/Call/WhatsApp : 019-7241572 (Naziha)
Email : nazihacollection@gmail.com

Kembali ke Produk Kraftangan 

Thursday 23 October 2014

Ulasan eBook : Rahsia Khidmat Pelanggan Usahawan Online

Teks : Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar : ABDR

Assalamualaikum dan salam sejahtera. 

Alhamdulillah, dengan izin Allah saya masih diberikan kesempatan untuk bernafas dan menikmati bumi Allah yang Maha Kaya ini. Semoga Allah merahmati setiap amalan yang kita lakukan di dunia ini sebagai bekalan untuk dibawa ke akhirat kelak. Aamiin.


Pertama sekali, terima kasih diucapkan kepada Puan Masayu Ahmad yang merupakan pengasas Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) atas peluang dan penghormatan yang diberikan kepada ahli ABDR untuk memberikan ulasan di dalam eBook terbarunya berjudul Rahsia Khidmat Pelanggan Usahawan Online. Saya sebagai salah seorang ahli ABDR juga tidak mahu ketinggalan mahu mendapatkan naskhah ini juga demi memperbaiki diri menjadi seorang usahawan muda berilmu serta berjaya di dunia mahupun di akhirat kelak. InsyaAllah. Mohon doanya ya rakan-rakan.

            Ketika membaca eBook ini yang sarat penuh informasi dan coretan pengalaman para penjual dan pembeli online buat diri ini terkedu seketika. Hati kecil berbisik “Inilah yang aku lalui ketika baru mula menjalankan perniagaan online secara kecil-kecilan pada pertengahan tahun 2012”. Berbekalkan Diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan, saya nekad mahu memulakan perniagaan online sendiri. Terasa diri sudah cukup bersedia mahu mengharungi dunia baru, mahu bergelar usahawan muda dalam kadar segera. Ikut cara sendiri sahaja. Sehinggalah pada satu tahap, saya mula berasa kosong jiwa. Serba tidak kena dan tidak menjadi. Modal habis banyak, untung tidak seberapa. Lantas saya teringat kata-kata seorang tokoh usahawan terkenal di Malaysia yang cukup kuat melekat di kotak fikiran saya hingga ke hari ini, “anak muda ini darahnya cepat panas. Mahu cepat dalam segala hal dan tidak berfikir panjang. Pasti hasilnya juga nanti tidak akan menepati piawaian yang telah ditetapkan. Ilmu teori sahaja tidak mencukupi. Perlu ada asas praktikalnya juga”.

Terdiam saya dibuatnya. Memang benar belaka. Itulah yang baru dikatakan sebagai usahawan berilmu. Akhirnya saya sedar bahawa saya telah pun gagal pada waktu itu.

            Secara jujurnya, eBook ini menceritakan segalanya. Susun atur plot penceritaan juga menarik minat pembaca untuk kekal meneruskan pembacaan sehingga ke akhirnya. Permulaan penceritaan dimulakan dengan perbezaan antara perniagaan Online dan juga Offline. Penulis mahu pembaca tahu dan sedar bahawa Bisnes Online juga mampu menjana pendapatan lumayan sama seperti Bisnes Offline juga asalkan kena pada caranya. Diakui cabaran yang dihadapi para peniaga Online juga tidak kurang hebatnya, penulis memberikan beberapa tips mudah mengenai cara mahu mengatasi setiap masalah yang timbul sepanjang sesi jual beli berlaku bersama para pembeli. Segalanya menjadi mudah dengan adanya toleransi dan persefahaman yang baik antara kedua-dua belah pihak baik di pihak penjual mahupun di pihak pembeli. Pada helaian di bab berikutnya, penulis mula mengembangkan penceritaan dengan mula memberikan tips penting perihal bagaimana mahu menggembirakan pelanggan, membina keyakinan, menawan hati serta menghargai pelanggan hingga menjadi pelanggan setia. Bagi saya bab ini sangat penting dalam sesebuah perniagaan. Pelanggan adalah tonggak ekonomi sesebuah perniagaan. Jatuh bangun sesebuah perniagaan itu bergantung kepada jumlah pelanggan yang datang membeli baik pelanggan baru mahupun pelanggan setia. Memetik sebaris kata daripada penulis di dalam eBook ini “tanpa pelanggan, siapalah kita”. Cukup ringkas tapi penuh makna tersirat di sebaliknya.

            Selepas habis membaca eBook ini, seolah-olah saya telah mendapat satu suntikan semangat yang baru. Dulu saya terlalu fokus kepada produk yang dihasilkan dan kurang mengambil berat perihal citarasa pelanggan. Skil komunikasi juga tidak begitu baik. Tetapi selepas membaca eBook ini, saya sudah tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Terima kasih sekali diucapkan kepada penulis kerana telah memberikan ruang dan peluang untuk saya membuat sedikit ulasan mengenai eBook ini. Saya doakan semoga Puan Masayu  Ahmad dimurahkan rezeki serta dipermudahkan urusan dalam hidup dan dapat berterusan memberi manfaat kepada saya dan juga anda semua. Jadi apa tunggu lagi? Segera dapatkan buku ini pada harga yang cukup berpatutan dan pastinya mampu dimiliki oleh setiap orang. Sekian, terima kasih. J