Monday 30 December 2013

Bawa Bertenang Dan Terus Berjuang!

Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar:Sumber Google

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah. Aura positif mula menyerap masuk ke dalam jiwa. Pagi ini banyak perkara yang perlu dilakukan. Perlu bahagi masa sebaiknya. Disiplin dan konsisten. Itu yang saban hari saya terapkan dalam diri supaya sentiasa menjadi lebih baik dari semalam. Seperti biasa, entri sudah di update di blog. Draf kertas kerja untuk kedai juga masih berjalan seperti biasa. Dan ada satu lagi amanah baru yang diberi oleh mereka yang mempercayai saya untuk jadi teraju utama bahagian, akan saya jalankan sebaik mungkin. InsyaAllah akan diuar-uarkan apabila masanya sudah tiba. 

P/S:Jalan Terus! :)


Sunday 29 December 2013

Dilantik Menjadi Ketua !

Teks:Siti Nornaziha Md Suib
Gambar:Sumber Google

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. 

Allahuakbar! Semalam merupakan hari yang sungguh penuh dengan kejutan. Sangat teruja tapi dalam masa yang sama rasa risau juga jika tidak dapat melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberi kepada diri ini dengan sebaiknya. Ada dua peristiwa besar yang ingin saya ceritakan di sini pada pagi yang sungguh ceria ini.


BAJET UNTUK KEDAI KAK NGAH DAH SIAP !
Pertamanya alhamdulillah saya ucapkan ke hadrat ilahi kerana dengan izinnya bajet pembiayaan untuk kedai kak ngah dapat disiapkan tepat jam 10.30 pagi semalam. Harap-harap bos besar berpuas hati. Selepas selesai bahagian kira-kira, sekarang saya mahu fokus pula kepada bahagian seterusnya. Banyak yang perlu diperbaiki. Diakui saya sedikit tertekan dengan situasi ini, tapi lama-kelamaan saya sudah mampu kawal dan mampu bertenang sekiranya ada tugasan mengejut yang diberikan tanpa disangka-sangka. Masa tahun belajar dulu, sekadar nak lulus peperiksaan sahaja, tapi sekarang kertas kerja yang sedang ditambah baik secara berperingkat ini adalah untuk projek yang sebenar! Projek kedai 2 tingkat di bawah nama ANGAH SNSK ENTERPRISE menjalankan perniagaan berupa kelas tuisyen,percetakan dan juga kafe siber. Allah ! Memang berat tak dapat nak dinafikan, tapi berkat kesabaran kak ngah dan kak itanoni, akhirnya saya kembali berganding bahu membina serta membangunkan kedai bersama-sama mereka. Sebelum ini saya memang langsung tidak berkeyakinan. Akhirnya saya cakap pada diri sendiri "Sampai bila nak macam ni? Sakit bukan penghalang untuk kita berjaya. Allah tengah nak uji. Kenapa cepat benar kalah sebelum berjuang? Gagal selepas berusaha itu lebih indah dari gagal tak berbuat apa-apa langsung. Sangat menyedihkan". Lalu, saya ambil keputusan untuk meneruskan apa yang saya tinggalkan sebelum ini demi kehidupan yang lebih baik untuk masa akan datang. Jatuh bangun seakan dah sebati dengan diri yang serba fakir dan lemah ini. Saya ingin menimba ilmu sebanyak mungkin daripada 'orang-orang besar' yang berada di sekeliling saya kerana peluang emas datang cuma sekali. Jadi, tak ingin saya lepaskan buat kali kedua. Mahu jadi cekal hati  dan berjaya seperti tokoh usahawan yang lain.

DILANTIK JADI KETUA !
Puan Ainon Mohd
Allahuakbar! Berita paling tak disangka-sangka. Saya telah sah dilantik sebagai Ketua Chapter ABS Cawangan Yong Peng, Johor. Di bawah pucuk pimpinan Puan Ainon Mohd, seorang tokoh perniagaan yang dikenali dan disegani di Malaysia ini. Allah! Allah! Allah!. Betapa besarnya nikmat yang Engkau berikan kepada hambaMu yang serba fakir ini Ya Allah. Di kala saya sedang mencari hala tuju hidup untuk tahun hadapan, tahun yang dikatakan penuh dengan cabaran dan dugaannya yang tersendiri, hadirnya peluang sebegini sedikit sebanyak memudahkan urusan saya yang sebelum ini terhenti serta merta. Benarlah janji Allah iaitu sesungguhnya Allah takkan tinggalkan hambaNya yang benar-benar mengharapkan pertolonganNya dengan hati yang ikhlas dan sabar. Mula-mula dapat tahu rasa sangat-sangat terkejut. Mana tidaknya, tiba-tiba tuan Hisyam dari Ketua Chapter ABS Batu Pahat ucapkan tahniah kepada saya kerana dilantik sebagai ketua ABS Chapter Yong Peng!. Allah. Dari mana pula datangnya berita sebegini? Akhirnya saya buka group rasmi ABS iaitu (Ainon Business School) dan akhirnya memang terbukti dan nyata, nama saya tercatat di situ sebagai ketua berkuatkuasa pada petang semalam lebih kurang pada jam 1.30 petang. Alhamdulillah. Pada pagi ini sudah sedikit lega. Sudah bertenang secukupnya semalam. InsyaAllah saya akan jalankan amanah yang diberi ini sebaik mungkin. Banyak yang perlu dilakukan. Disiplin dan konsisten merupakan kunci utama kejayaan peniaga tegar berjiwa kental. Hanya kerana saya seorang gadis desa berumur 23 tahun, kecil molek orangnya dan masih terlalu mentah dengan dunia perniagaan yang penuh dengan cabarannya tersendiri, saya tidak mahu pandang ke belakang lagi. Jalan sudah tersedia. Saya akan bangkit semula. 

Mereka percaya kepada kebolehan saya tapi saya yang kurang berkeyakinan untuk memikul amanah yang diberi sebaiknya. Saya percaya laluan tersebut tidak mudah namun saya tidak mahu mengaku kalah.  Saya akin terus berusaha untuk menjadi gadis luar biasa seperti yang diimpikan sebelum ini. InsyaAllah. Semoga Allah permudahkan. Aamiin.  

Thursday 26 December 2013

Perjalanan Hidupku Masih Jauh


Assalamualaikum dan selamat pagi warga fb sekalian. Alhamdulillah dan terima kasih Ya Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kami selama ini. Ok, hari ini banyak yang perlu dilakukan. Harus membahagikan masa sebaik mungkin. Entri di blog sudah di update seperti biasa. Untuk kertas kerja pula ada banyak perkara yang perlu diubah. Moga-moga segalanya baik-baik sahaja. InsyaAllah aamiin. :)

Monday 23 December 2013

8 Tips Bertenang Ketika Menghadapi Masalah

Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar:Sumber Google


Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Hari ini saya nak berkongsi Tips Bertenang Ketika Menghadapi Masalah. Tips ini saya dapat malam tadi ketika leka menulis di dalam diari peribadi saya. Ya! Diari Peribadi. Apabila saya rasa saya tidak kuat, selain berdoa kepada Allah, saya juga akan coretkan di dalam diari. Umpama saya meluahkan perasaan kepada Allah cumanya melalui penulisan yang merenggut jiwa. Setelah selesai menulis, hati terus jadi lega. Allahuakbar! Sesungguhnya Allah tidak akan menolak doa hambaNya yang benar-benar meminta pertolongan dan akan diberi olehNya sedikit kekuatan jiwa buat santapan rohani dan jasmani bagi menghadapi dugaan dan rintangan yang mendatang kemudian hari.

Baiklah, di sini ada 8 tips ringkas yang ingin saya kongsikan kepada para pembaca sekalian.

1) Jadikan Allah sebagai yang terutama dan teratas dalam piramid perjalanan kehidupan seharian kita. Allah adalah segala-galanya. Berdoa dan terus berdoa kepada Allah. Hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. 

2) Kurangkan tabiat suka memikirkan masalah sebaliknya terapkan sikap segera mencari jalan penyelesaiannya. Kalau dibiar, semakin lama boleh jadi semakin parah. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik dari mengubati.

3) Biasakan diri berterus-terang kalau kita tidak mampu atau tidak tahu tentang sesuatu perkara. Berkata benar walaupun pahit untuk diterima. Apabila terlalu dipendam, lama-lama boleh timbul perasaan marah berpanjangan atau dendam. 

4) Kuasa menjatuhkan hukuman bukan terletak di tangan manusia. Berdoa kepada Allah. Sesungguhnya Allah lebih layak mengadili mereka. Maafkan sahaja kesalahan mereka kepada kita dan dalam masa yang sama mohon maaf jika kita rasa kita ada buat silap dan salah kepada orang lain jua. Tips paling penting untuk hati jadi tenang.

5) Belajar untuk menjadi diri sendiri dengan semua orang baik yang sudah lama kita kenal atau yang baru sahaja kita kenali. Jangan cuba jadi orang lain kalau sekadar hanya ingin memuaskan hati sebelah pihak sahaja. 'Give and Take' itu amat perlu.

6) Kalau kepala tengah berserabut, ambil masa untuk diri sendiri bertenang seketika. Bersendirian lalu muhasabah diri. Kalau dah ok, baru mulakan tugasan atau lakukan perkara yang menggembirakan seperti gelak tawa bersama dengan kaum keluarga mahupun rakan-rakan untuk melupakan seketika masalah yang melanda diri sebentar tadi.. Sekadar untuk mendapatkan tempo ceria dan tenang jiwa sebelum membuat sebarang keputusan. InsyaAllah, selebihnya Allah akan permudahkan.

7) Bercerita dan meminta nasihat atau pandangan daripada ahli keluarga dan rakan rapat juga boleh dipraktikkan. Lebih banyak pendapat tercetus, maka kuasa untuk memilih yang terbaik buat diri kita juga menjadi semakin besar. Kita bukan bersendirian di dunia fana ini.

8) Senyum itu sudah memadai untuk menutup rasa gundah gulana di jiwa. Dengan hanya melalui senyuman, secara tidak langsung kita telah buat orang lain turut berasa tenang dan gembira. 

Senyum seindah suria
Yang membawa cahya
Senyumlah dari hati
Duniamu berseri

Senyum umpama titian
Dalam kehidupan
Kau tersenyum ku tersenyum
Kemesraan menguntum

Senyum… kepada semua
Senyumanmu amatlah berharga
Senyum… membahagiakan
Dengan senyuman terjalinlah
Ikatan…

Saya Mampu Lakukannya!

Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar:Sumber Google

Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Hari ini, rutin harian saya sama seperti semalam cuma dari segi aktiviti dan tempoh masa, ada sedikit kelainan yang diberi bagi memastikan tempo ceria, gembira dan tenang ketika melakukan sesuatu pekerjaan akan kekal hingga masuk waktu tidur pada malam nanti. Baiklah. Memulakan hari dengan update entri baru di blog. Seterusnya, pelan kertas kerja juga akan dimulakan kira-kira jam 8.30-9.00 pagi nanti. Sedikit terlewat daripada jangkaan biasa. Tapi tak mengapa. 'List To Do' siap tersedia untuk mengajar saya menjadi seorang yang bijak menguruskan masa dan diri. Ada juga tips Motivasi Diri yang ingin saya kongsikan di blog ini sebentar lagi. InsyaAllah, akan saya kongsikan di ruangan fb ini juga supaya rakan-rakan fb boleh ambil manfaatnya bersama.



P/S : Mungkin kita tidak mampu menjadi seorang yang ceria sepanjang hari tapi sekurang-kurangnya kita mampu ajar diri kita untuk bertenang dalam menghadapi sebarang situasi sama ada yang sudah dijangka atau yang berada di luar jangkaan kita. InsyaAllah, kita pasti mampu melakukannya. 

Sunday 22 December 2013

Hidup Ini Bagaikan Roda

Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar:Sumber Google


Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu untuk semua. Alhamdulillah. Pagi yang gelap kini sudah terang. Masa untuk memulakan tugasan seperti biasa. Entri di blog sudah siap di update, untuk kertas kerja pula bakal dimulakan tepat jam 8.00 pagi nanti. Sejak 2-3 hari ini, mata dan fizikal khususnya di bahu kanan sedikit kurang cergas. Segala tugasan tidak dapat dilakukan pada waktu malam. Lenguh sepanjang malam tapi akan kembali pulih menjelang pagi. Jika nak dibandingkan ketika zaman belajar di UITM dahulu, kunci jam pukul berapa sekalipun, saya mampu bangun. Tapi sekarang, payah sungguh. Kadang-kadang tak terbangun langsung. Haru jiwa dibuatnya.

P/S: Bercita-cita mahu menjadi seorang yang berdisiplin, konsisten, sabar, tidak cepat putus asa dan banyakkan berdoa serta bertawakal kepada Allah dalam melakukan apa jua jenis pekerjaan yang diamanahkan. InsyaAllah moga Allah permudahkan. Aamiin. :)

Saturday 21 December 2013

Semangat Tak Pernah Luntur


Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar:Sumber Google

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, hujan masih lagi turun membasahi bumi di Kampung Parit Yaani Tengah,Yong Peng, Johor sejak awal pagi tadi. Angin sejuk buat sebahagian ahli seisi alam sedang lena tidur diulit mimpi indah. Kalau tak kuat, saya pun dah jadi sebahagian dari mereka yang masih belayar dalam mimpi-mimpi indah itu. Silap-silap tengahari nanti baru bangun. Huhuhu...


Saya sangat bersemangat untuk memulakan tugasan dan mengemaskini entri baru di blog. Jemput singgah juga ye. Info yang disaji bukan sekadar cakap-cakap kosong tapi penuh bermanfaat baik untuk duniawi mahupun ukhrawi. InsyaAllah, bersama kita saling mengingatkan. :)