Teks:Siti Nornaziha Md Suib
Gambar:Sumber Google
Assalamualaikum dan selamat pagi semua.
Allahuakbar! Semalam merupakan hari yang sungguh penuh dengan kejutan. Sangat teruja tapi dalam masa yang sama rasa risau juga jika tidak dapat melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberi kepada diri ini dengan sebaiknya. Ada dua peristiwa besar yang ingin saya ceritakan di sini pada pagi yang sungguh ceria ini.
BAJET UNTUK KEDAI KAK NGAH DAH SIAP !
Pertamanya alhamdulillah saya ucapkan ke hadrat ilahi kerana dengan izinnya bajet pembiayaan untuk kedai kak ngah dapat disiapkan tepat jam 10.30 pagi semalam. Harap-harap bos besar berpuas hati. Selepas selesai bahagian kira-kira, sekarang saya mahu fokus pula kepada bahagian seterusnya. Banyak yang perlu diperbaiki. Diakui saya sedikit tertekan dengan situasi ini, tapi lama-kelamaan saya sudah mampu kawal dan mampu bertenang sekiranya ada tugasan mengejut yang diberikan tanpa disangka-sangka. Masa tahun belajar dulu, sekadar nak lulus peperiksaan sahaja, tapi sekarang kertas kerja yang sedang ditambah baik secara berperingkat ini adalah untuk projek yang sebenar! Projek kedai 2 tingkat di bawah nama ANGAH SNSK ENTERPRISE menjalankan perniagaan berupa kelas tuisyen,percetakan dan juga kafe siber. Allah ! Memang berat tak dapat nak dinafikan, tapi berkat kesabaran kak ngah dan kak itanoni, akhirnya saya kembali berganding bahu membina serta membangunkan kedai bersama-sama mereka. Sebelum ini saya memang langsung tidak berkeyakinan. Akhirnya saya cakap pada diri sendiri "Sampai bila nak macam ni? Sakit bukan penghalang untuk kita berjaya. Allah tengah nak uji. Kenapa cepat benar kalah sebelum berjuang? Gagal selepas berusaha itu lebih indah dari gagal tak berbuat apa-apa langsung. Sangat menyedihkan". Lalu, saya ambil keputusan untuk meneruskan apa yang saya tinggalkan sebelum ini demi kehidupan yang lebih baik untuk masa akan datang. Jatuh bangun seakan dah sebati dengan diri yang serba fakir dan lemah ini. Saya ingin menimba ilmu sebanyak mungkin daripada 'orang-orang besar' yang berada di sekeliling saya kerana peluang emas datang cuma sekali. Jadi, tak ingin saya lepaskan buat kali kedua. Mahu jadi cekal hati dan berjaya seperti tokoh usahawan yang lain.
DILANTIK JADI KETUA !
Puan Ainon Mohd
Allahuakbar! Berita paling tak disangka-sangka. Saya telah sah dilantik sebagai Ketua Chapter ABS Cawangan Yong Peng, Johor. Di bawah pucuk pimpinan Puan Ainon Mohd, seorang tokoh perniagaan yang dikenali dan disegani di Malaysia ini. Allah! Allah! Allah!. Betapa besarnya nikmat yang Engkau berikan kepada hambaMu yang serba fakir ini Ya Allah. Di kala saya sedang mencari hala tuju hidup untuk tahun hadapan, tahun yang dikatakan penuh dengan cabaran dan dugaannya yang tersendiri, hadirnya peluang sebegini sedikit sebanyak memudahkan urusan saya yang sebelum ini terhenti serta merta. Benarlah janji Allah iaitu sesungguhnya Allah takkan tinggalkan hambaNya yang benar-benar mengharapkan pertolonganNya dengan hati yang ikhlas dan sabar. Mula-mula dapat tahu rasa sangat-sangat terkejut. Mana tidaknya, tiba-tiba tuan Hisyam dari Ketua Chapter ABS Batu Pahat ucapkan tahniah kepada saya kerana dilantik sebagai ketua ABS Chapter Yong Peng!. Allah. Dari mana pula datangnya berita sebegini? Akhirnya saya buka group rasmi ABS iaitu (Ainon Business School) dan akhirnya memang terbukti dan nyata, nama saya tercatat di situ sebagai ketua berkuatkuasa pada petang semalam lebih kurang pada jam 1.30 petang. Alhamdulillah. Pada pagi ini sudah sedikit lega. Sudah bertenang secukupnya semalam. InsyaAllah saya akan jalankan amanah yang diberi ini sebaik mungkin. Banyak yang perlu dilakukan. Disiplin dan konsisten merupakan kunci utama kejayaan peniaga tegar berjiwa kental. Hanya kerana saya seorang gadis desa berumur 23 tahun, kecil molek orangnya dan masih terlalu mentah dengan dunia perniagaan yang penuh dengan cabarannya tersendiri, saya tidak mahu pandang ke belakang lagi. Jalan sudah tersedia. Saya akan bangkit semula.
Mereka percaya kepada kebolehan saya tapi saya yang kurang berkeyakinan untuk memikul amanah yang diberi sebaiknya. Saya percaya laluan tersebut tidak mudah namun saya tidak mahu mengaku kalah. Saya akin terus berusaha untuk menjadi gadis luar biasa seperti yang diimpikan sebelum ini. InsyaAllah. Semoga Allah permudahkan. Aamiin.
No comments:
Post a Comment