Tuesday, 4 November 2014

Pengalaman Bisnes Dropship

Teks:Siti Nornaziha Binti Md Suib
Gambar : Google

Assalamualaikum dan selamat pagi. Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana masih diberikan kesempatan untuk bernafas di muka buminya yang Maha Kaya ini. Hari ini saya suka untuk menceritakan serba sedikit pengalaman saya menjalankan bisnes dropship pada awal tahun 2013 yang lalu.

Pada awal pertengahan tahun 2013, saya mula terfikir untuk cuba keluar daripada zon selesa. Mahu menjual sesuatu yang tak pernah saya jual sebelum ini. Setelah meneliti secara pasti, maka saya memilih beg sebagai pilihan bisnes dropship saya. Pada permulaannya saya agak kaku juga mengenangkan diri tidak mempunyai apa-apa pengalaman dalam bisnes dropship ini. Tetapi, berkat perkenalan saya dengan seorang pemborong beg yang sangat baik hati di facebook, tidak jemu memberikan tunjuk ajar dan selok belok dunia bisnes kepada saya membuatkan saya semakin bersemangat dan teruja untuk memulakan karier saya sebagai seorang peniaga beg online. Di situ saya belajar banyak perkara daripada beliau.

Saya ingat lagi ketika di awal permulaan perbualan kami, saya bertanyakan kepada beliau “ Apa itu bisnes dropship? Bagaimana nak melakukannya? Apa yang perlu saya buat? Bagaimana proses jual beli dan kaedah pembayarannya? ".

Ya, itu dia!

Satu-persatu soalan saya ajukan kepadanya dan seperti biasa beliau akan menjawab setiap pertanyaan saya dengan tenang dan sehabis baik. Beliau menjelaskan bahawa perniagaan dropship ini sangat mudah dilakukan kerana peniaga dropship atau lebih dikenali sebagai ‘agen dropship’ tidak perlu menyimpan stok dalam tangan. Hanya tolong jualkan sahaja. Agen dropship akan dapat komisen untuk setiap barangan yang berjaya terjual. Di bawah saya sediakan gambarajah untuk gambaran yang lebih jelas kepada anda.

Carta Dropship

Jika ada pelanggan yang mahu membeli beg, segala urusan jual beli termasuk pembayaran adalah di antara agen dropship dan pembeli. Pemborong hanya bertindak sebagai pihak yang akan membuat pengeposan sahaja. Sebagai seorang agen dropship, saya aktif mempromosikan beg di setiap group perniagaan yang ada di facebook. Alhamdulillah, sambutannya ketika itu amat menggalakkan. Saya semakin teruja! Mendapat komisen untuk hasil jualan pertama benar-benar menggembirakan hati saya. Daripada situ saya mula mengenali dan memahami ragam pembeli online dengan lebih dalam lagi. Ada yang mudah urusan jual belinya dan tak kurang juga ada yang agak sukar. Tetapi, berkat kesabaran dan tolak ansur kedua-dua belah pihak, maka segala masalah dapat diatasi dengan baik. Kami saling tidak mengenali antara satu sama lain tetapi atas dasar kepercayaan, maka berlaku lah akad jual beli antara saya dan mereka. Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan atas kepercayaan yang diberi.

Begitulah serba sedikit coretan pengalaman saya sebagai seorang agen dropship. Suka saya ingin memberitahu kepada mereka yang mahu dan berminat untuk memulakan perniagaan tapi tidak tahu bagaimana caranya, bisnes dropship adalah jawapannya. Timba pengalaman sebagai agen dropship terlebih dahulu sebelum berdikit-dikit naik menjadi pemborong/pembekal pula. Cukup mudah dan tidak perlu pening kepala mahu keluarkan duit beli stok barangan. Sangat sesuai dijalankan secara sepenuh masa mahupun secara sambilan.

Akhir kata, saya ucapkan selamat maju jaya kepada yang baru mahu bermula ataupun sudah lama berkecimpung dalam bisnes dropship ini. Anda adalah yang terbaik dalam kalangan mereka yang terbaik.  


Assalamualaikum.J

No comments:

Post a Comment